Artikel Bukit Melati , Nilai.







Bukit Melati tawar terapi riadah

Taman rekreasi umpama hospital merawat secara semula jadi



Kebanyakan mereka yang gemar memanjat bukit, penggemar aktiviti memanjat bukit menjadikannya sebagai hobi atau paling tidak dijadikan aktiviti riadah bersama keluarga.
Keseronokan dan kepuasan maksimum tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, selepas seluruh tubuh menjejak, mendaki dan merentasi laluan sukar yang akhirnya disajikan pemandangan indah ciptaan Allah SWT dari puncaknya.
Bagi mereka yang hanya melihat dari jauh dan mendengar cerita orang, tidak akan dapat merasai ‘kehebatan’ kesan memanjat bukit, terutama Bukit Melati yang terletak di sempadan Bandar Baru Nilai dan Sepang.
Tanpa disedari di tengah kesibukan pembangunan koridor selatan itu ada lokasi istimewa menjadi tumpuan umum melakukan riadah selain tempat berkumpulnya mereka yang menghidap pelbagai penyakit melakukan senaman.
Penulis tertanya-tanya mengenai keajaiban bukit ini apabila dimaklumkan pengasasnya yang juga Pakar Saraf, Dr Johari Aziz, umpama ‘hospital’ alam semula jadi.
Riadah untuk pesakit jantung, angin ahmar dan kanser
Tempat ini menjadi lokasi riadah pesakit seperti serangan jantung, angin ahmar, kencing manis, kanser, parkinson dan gout menjalani terapi menerusi aktiviti riadah di sini.
Kata beliau, bukit dengan bentuk muka bumi bersifat melebar pada ketinggian 144 meter atau 432 kaki ini terus dikunjungi kerana masingmasing percaya usaha sedemikian berupaya meredakan kesan sakit yang mereka dihidapi.
Maklum balas pengunjung mendapati 95 peratus daripada mereka mengakui riadah di sini begitu menyihatkan. Pengunjung mengaku pendakian sekurang-kurangnya lima kali seminggu selama tiga bulan, berupaya meredakan sakit.
Bukit Melati yang dibuka sejak enam tahun lalu, adalah hasil penyelidikan Dr Johari selama 13 tahun. Terdapat enam nama khas yang diwujudkan dalam bukit ini iaitu Eagle Hill, Monkey Hill, Cobra Hill, Rob Hill, Mosquito Hill dan Centepede Hill.
Setiap laluan di situ kata beliau, berbeza mengikut keperluan tubuh dalaman pesakit.
“Setiap laluan yang direka memberi kepelbagaian fungsi dan cabaran tertentu mengikut tahap kesihatan, kecergasan serta kemampuan pengunjung terutama pesakit.
“Saya menggabungkan ilmu sains dan agama dengan konsep menggalakkan pesakit dan orang ramai menjalani kehidupan sihat tanpa ubat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sejak beroperasi, bukit ini dikunjungi kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan warga emas 92 tahun.
Merasai sendiri pengalaman menjejaki Bukit
Melati, penulis mendaki
Eagle Hill iaitu laluan yang baharu dibuka. Laluan ini dianggap kurang mencabar bagi kebanyakan pendaki, sedikit demi sedikit, peluh membasahi tubuh penulis.
Untuk menentukan tahap kesihatan sama ada orang itu ahli sukan atau tidak, peluh bulat-bulat akan keluar di bahagian atas pergelangan tangan. Memandangkan penulis bukan seorang ‘sports girl’!
Sepanjang perjalanan, penulis merentasi pelbagai jenis laluan disediakan baik jenis tangga dari tanah dan ada juga diletakkan papan bagi mengelak daripada tergelincir.
Rutin riadah minggu sekeluarga
Laluan yang disediakan juga berlekuk, bengkang bengkok serta curam. Memanjat, menurun, melangkah, mendaki, merangkak dan melompat di setiap laluan membuatkan degupan jantung berdegup kencang.
Ternyata, setiap laluan yang dibina berfungsi melatih tahap kecergasan seluruh tubuh termasuk pernafasan. Namun, bagi menyeimbangi semula, laluan mendatar disediakan untuk tujuan berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Penulis kagum melihat satu pasangan suami isteri dengan selamba mendaki Bukit Melati bersama tiga anak perempuan yang paling kecil berusia tiga tahun dan masih berbaju tidur.
Kata mereka, aktiviti ini menjadi rutin mingguan sekeluarga menikmati keindahan alam semula jadi di awal pagi, di samping menggalakkan anak-anaknya meningkatkan tahap kecergasan badan.
Biarpun sudah penat dan ada kalanya rasa hendak pitam dan muntah, penulis menggagahkan diri meneruskan pendakian menuju ke Monkey Hills iaitu laluan rekaan istimewa khas untuk pesakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Laluan mencabar seperti Gua Hira’
Dr Johari berkata, laluan mencabar ke puncaknya direka seakan-akan Gua Hira’ iaitu bukit yang dinaiki Nabi Muhammad SAW selepas solat Subuh dan juga lokasi Baginda menerima wahyu pertama.
Sebelum menuju ke puncak Monkey Hills, laluannya mencabar keupayaan kerana kira-kira 50 meter sebelum itu, kedudukan curamnya lebih kurang 70 darjah.
Penulis sempat berehat kira-kira 15 minit sambil menikmati pemandangan hijau berlatar belakangkan Bandar Baru Nilai dan keindahan Bukit Mantin.
Meneruskan perjalanan, penulis merentasi laluan menuruni bukit menuju ke Cobra Hill. Nama haiwan liar itu diberikan bukan bermaksud adanya ular jenis itu sebaliknya laluannya bengkang bengkok seperti ular.
Mosquito Hill laluan mencabar
Sebaik menyusuri laluan keluar, anda akan kembali mendaki laluan Mosquito Hill yang sedikit curam. Laluan di sini sedikit mencabar tetapi semuanya tidak akan berjaya tanpa bantuan temanteman yang turut serta.
Pengunjung juga menjadikan lokasi ini sebagai tempat berkumpul selain bertukar pengalaman mereka berhadapan dengan penyakit yang dihadapi antaranya kolesterol tinggi, kencing manis, koma, malah ada juga yang sudah membuat pembedahan pintasan jantung.
Pihak pengurusan bukit berkenaan menganjurkan program cabaran pendakian untuk mempromosikan khidupan lebih sihat menerusi Melati Hill Trail Challenge pada 17 Disember ini.

Artikel dari BERITA HARIAN, 26 Nov. 2017 oleh: Hidayah Mohammad hid_mohd@bh.com.my



No comments:

Post a Comment

TETAMU SYAWAL..

Diari DAUD : SABTU lalu, rakan dan juga sedara aku, MIZI berkunjung ke rumah. Dia ni memang salah sorang daripada rakan baik aku. Rakan aku...