Sunday, June 19, 2022

Jarang Update Blog...

Diari DAUD - Hari AHAD, 19 Jun 2022...Rasanya dah lama sangat aku tak update blog aku ni...Dah naik bersawang gamaknya. Sebenarnya sekarang aku ni dah ada di kampung dah. KG. SENIN, LAYANG2 KANAN, PARIT, PERAK. Google la....hahaha...Pindah terus ke kampung aku ni. Maknanya kekal la kat sini hingga dipanggil kembali oleh Pencipta. Aku jarang sangat nak update blog ni sebab sejak pindah kampung aku dah tak banyak aktiviti dah. Tak ada benda nak update. Lain lah jika ada di Bangi,  tentu ada je aktiviti yang dibuat. Atau masih bekerja tentu lebih banyak lagi aktiviti berkaitan keje. Video pun dah jarang aku buat. Takde apa yang nak di ketengahkan dalam video tu...Macam semuanya dah malas nak buat...mungkin sebab dah bersara kut...atau pun mungkin sebab dah tua kut...hahaha...Tambah pulak bila dah duk kampung internet pun aku dah takde dah. Baru dua tiga hari ni aku langgan unifi. Rumah aku ni line hp pun tak cantik tambah pulak bila dalam rumah. Kalau luar rumah memang penuh 'bar' kat hp. Kalau dalam rumah satu dua bar aje...Tu yang menambahkan malas aku nak update blog ni. Bila dah ada internet ni boleh la aku update blog ni...Itu pun mungkin jarang kut sebab dah tua2 ni dah takde cite pun untuk ditulis. Aku dah jadi PAKCIK KAMPUNG sekarang ni...hahaha...


Keluarga kakak ipar aku dari SAUK. Beberap orang lagi tiada dalam foto.

Hari ni, kakak ipar aku dari SAUK datang berkunjung ke rumah. Dia dibawa oleh anak-anak dan menantu dia. Moga kakak ipar aku ni sentiasa sihat hendaknya...Dah veteran jugak dia tu...Sejak aku pindah dia orang tak pernah sampai ke rumah kecik aku ni. Hari Raya itu hari pun dia orang tak dapat datang sebab ada hal memasing. Aku buat kenduri doa selamat masa tu. Ramai jugak sedara mara yang tak dapat datang. Sedara mara aku la yang ramai tak datang. Sedara mara bini aku boleh katakan 90% hadir masa kenduri tu..Terima kasih kepada mereka semua yang hadir tu...Tak kisah la tu...pada aku, aku dah jemput dah...kalau tak datang terpulanglah...Itu hak masing2...Aku pun bukan jenis yang suka pi jemputan kenduri orang lain. Itu mungkin kifarah untuk aku la kut....Jiran2 aku dari Bangi pun turut hadir walaupun jauh...terima kasih banyak2 la ye...Kalau aku yang dijemput hadir ke kenduri orang lain..entahlah...hahaha...Aku ni payah nak pi kenduri jauh2...Yang dekat pun jarang sangat pi...hahaha...Itulah kan, kita ni dijadikan Tuhan dengan karekter masing2 kan...Apa2 pun kita berlapang dada la memasing kan...Kita doakan aje yang baik2 untuk sapa2 pun sebab kita tak tau khotimah kita kan...Harapnya semuanya baik2 je di penghujung nanti...


Keluarga aku dari KAMUNTING beraya kat rumah aku.

Kali ni kali pertama aku BERAYA di kampung aku ni. Aku tak pi mana mana pun. Duduk aje kat rumah. Aku ni memang culas nak pi mana mana walaupun rumah sedara mara. Ada jugak sedara aku datang rumah. Yang paling selalu balik kampung masa hari raya ialah kakak aku dari KAMUNTING. Tiap2 Raya mesti balik kampung. Rajin betul dia dengan anak beranaknya tu. Kalau aku usah harap sangat la. Aku memang suka duk rumah je...Suka jadi orang rumah...hahaha...Kawan rapat aku pun ada yang datang ke rumah aku. Ze datang waktu petang dan Mizi datang waktu malam. Terima kasih pada dia orang tu...Maaf la aku bukan kaki jalan, langsung tak pi rumah dia orang kat Ipoh tu. Maaf je la yeeeee....

Bakar lemang malam RAYA TERKEJUT kat rumah adik pompuan aku. Waktu malam ni..

Hari Raya Pertama ni...

Taun ni sempat la aku puasa sebulan di kampung. Maknanya kali pertama la tahun 2022 ni. Puasa kat kampung ni macam biasa la. Malam pi masjid untuk Tarawih. Aku berbuka di rumah aje sepanjang Ramadhan tu walaupun di masjid ada juga juadah berbuka. Kat sini, kami serta adik pompuan aku cuba masak kuih tradisi untuk berbuka. Buat sendiri je. Bukan tiap hari pun. Yang lainnya beli aje la kat pasar ramadhan di Bota Kanan dan di Pekan Parit tu. Merasa la suasana sambutan Ramadhan di kampung sendiri. Ok jugak rasanya...

Tau tak kuih ni...Besar gedabak bekasnya...hahaha...

Adik pompuan aku...

Aku sebenarnya dah lebih 6 bulan pindah ke kampung. Mungkin ada kenkawan yang tak tau pun aku dah pindah ke kampung tempat aku lahir ni. Aku pun dah jarang update fb yang aku "add" kan kenkawan yang sama bekerja dulu tu. Aku hanya aktif fb yang ada kaitan dengan sedara mara dan kenkawan yang sama sekampung aje la ni...Aktiviti harian kat kampung memang tak banyak pun. Tak banyak sangat pun. Aku pun dah jarang pi bakar kalori di bendang tempat aku tinggal sekarang ni. Langsung dah tak pi pun. Sekarang ni aku hanya bakar kalori dengan menebas kebun keliling rumah aku aje. Aku perlu keluarkan peluh setiap masa. Bukan kebun aku pun tapi kebun sedara mara dan tanah orang je pun. Korang tau tak perkataan 'menebas' tu...hahaha...Guna parang panjang la...Aku tebas aje tanah sedara mara keliling rumah aku aje sebab aku tengok semak sangat...Sakit mata aku tengok tanah yang semak samun tu...hahaha...Jadi aku tebas aje la...rasanya takde sapa marah pun kut. Ada ke sapa2 yang marah sebab tanahnya aku tebas semak samun tu...? Rasanya tentu takde yang marah kut. Bersihkan semak samun aje, bukan aku nak amik pun tanah tu...walaupun pokok durian kat situ dah berbunga pun nampaknya. Aku tebas aje tau, bukan nak amik tanah tu atau nak jaga...Maaf la, itu bukan niat aku langsung. Aku cuma bersihkan aje semak SEMAK di situ MENYEMAKKAN mata aku...hahaha...Semak tu dekat dengan rumah aku....Pelik la kalau ada tuan tanah yang marah, aku bersihkan tanahnya tu...hahaha...Aku buat secara percuma aje sebab aku rasa mata aku sakit bila tengok semak keliling rumah...itu aje pun. Jangan sebarkan fitnah pulak...Fitnah tu dosa beras...

Aku juga bantu adik pompuan aku bersihkan tanah dia kat baruh tu. Tanah dia tu jauh ke baruh sana. Macam dah lama tak dibersihkan. Aku bantu dia aje bersihkan tanah tu supaya tak semak samun. Seram jugak kawasan tu kalau pi sensorang. Ada beberapa kubur lama di situ. Mungkin dah beratus tahun kut. Batu penanda kubur pun jenis batu sungai yang lama. Rasanya mungkin sungai Perak masa dulu tak luas kut macam sekarang ni. Biasanya batu besar bersegi segi macam tu ditemui di sungai yang kecil aje. Dikatakan kubur tu tempat semadi ramai-ramai pahlawan perang masa zaman guna keris dan pedang dulu tu. Mana yang meninggal masa bertempur akan dikuburkan ramai ramai di situ. Tentu batu tu diambil dari sungai Perak yang berhampiran. Mungkin peristiwa tu berlaku sebelum nenek moyang aku bukak tanah kat sini kut. Semua kubur kubur mengadap kiblat, maknanya mereka tu semuanya Islam la. Kami bersihkan tanah tu dan bersihkan perdu buluh yang terdapat di situ. Ada beberapa perdu buluh di situ. Mana mana anak pokok langsat, rambai, menia dan anak pokok ceghopu yang kami jumpa taklah pulak kami tebas. Kami biarkanlah supaya ia tumbuh besar. Korang tau ke pokok Menia dan pokok Ceghopu tu...hahaha...Kalau anak Perak tak tau, payah la nak cakap. Maknanya korang lahir kat bando la gamaknya...hahaha...Kami jugak terserempak dengan beberapa ekor ayam hutan...rasanya ayam hutan pun ada kat situ. Sebelah tanah tu ilah ladang kelapa sawit atas tanah rizab sungai...Dengar cite Peladang punya ladang tu..tak tau la betui atau tak betui...

Salasilah keturunan aku. Nenek moyang aku la yang bukak tanah keluarga keturunan aku kat kampung ni.

Kat kampung ni nak tanam apa pun payah semuanya sebab ada banyak monyet dan babi hutan. Menteri Besar Perak sarankan tanam sendiri untuk makan dan ternak sendiri jugak. Kalau masalah monyet dan babi tak boleh diselesaikan rasanya macam tak logik aje saranan tu. Kerajaan kena selesaikan dulu masalah babi dan kera yang banyak tu sebelum minta rakyat tanam sendiri. Kera banyak sangat dan payah nak jaga hasil tanaman tu. Kera banyak sangat dan kera tu pun bijak sangat. Babi pun banyak, macam orang kampung ni pulak ternak babi....hahaha...Bila tuan rumah masuk rumah datang monyet kerjakan tanaman yang ditanam. Semua tanaman payah nak tumbuh. Ubi kayu dikacau babi. Pisang, timun, dan lain2 hasil tanaman dikacau kera. Takda maknanya suruh rakyat tanam tanaman kalau dua jenis haiwan ni dibiarkan tak ditangani dengan baik oleh kerajaan. Saranan biarlah logik dengan keadaan sekitar. Kera dan babi tu memang dah banyak sangat kat kampung ni. Rakyat sendiri tak mampu nak atasi masalah tu. Jangan rasa pelik bila rakyat gunakan kuasa masa PRU nanti....Tapi tu la...rasanya macam sama saja sapa pun yang akan dilantik. Jarang pemimpin yang mampu buat keje masing2. Rakyat pun macam sama aje, mudah sangat digulakan oleh pemimpin sama ada peringkat tinggi atau peringkat kampung....Cubalah semua pemimpin dan semua rakyat ubah mindset tu...Yang dilantik tu, jalankan tugas dengan bertanggung jawab. Yang jadi rakyat tu jalankan tanggungjawab sebagai rakyat...pilih pemimpin yang mampu buat keje dengan betul dan penuh tanggung jawab...Jangan silap pilih pemimpin....

Foto masa kenduri doa selamat kat rumah aku tu...








Keluarga Abang Kamal

Anak2 dan menantu aku....

Kat kampung ni memang takde aktiviti aku yang rasanya menarik. Tiap2 minggu, hari Sabtu aku pi Pekan Sabtu kat Bota Kanan tu untuk beli ayam dan ikan aje. Tiap2 hujung bulan pi super market kat Seri Iskandar untuk beli barang barang kering untuk keperluan masak memasak. Sekarang ni belum ada masa untuk pi ke pantai2 sekitar tempat aku tinggal sekarang ni. Pantai pun yang dekat kat sini rasanya kat Pantai Teluk Batik je la...Lumut tu lebih kepada untuk beli makanan laut je pun. Sapa yang nak pi Pulau Pangkur pun boleh naik feri dari Lumut tu...Barang kat pasar Senin atau pasar Sabtu kat Bota Kanan tu macam sama je dengan harga kat Bangi tu...Hampir semua sama je harga dengan kat Bangi tu. Rasanya macam mahal jugak. Harga barang-barang keperluan kat pasar basah di Bota Kanan dan Parit lebih kurang sama je dengan kat Bangi tu. Kalau nak cari buah import di pasar memang payah la. Kat pasar basah di Parit memang takde. Rasanya orang Parit ni tak makan buah import kot. Memasing ada buah sendiri kut...hahaha...Kalau nak makan buah tempatan memang mahal sekarang ni. Rambutan 10RM sekilo sebagai contoh. Kalau mangga mungkin murah kut, 2 Kilo boleh dapat dengan RM10. Kat Bota Kanan ada sebuah gerai buah dekat masjid Bota tu. Itu hari beli tembikai, harga lebih 4RM sekilo. Sama macam kat Bangi. Kalau nak beli buah kat kawasan ni boleh cari masa Pasar Sabtu di Bota Kanan dan Pasar Senin di Parit. Kat sini harga durian paling rendah 8RM sekilo masa aku tulis ni. Kat Bangi mungkin lebih rendah kut sebab durian datang dari pelbagai tempat termasuk dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Kat sini cuma dari Batu Kurau je rasanya..tu yang harganya masih tinggi tu...Pendek kata semua harga barang kat sini macam sama aje dengan harga kat Bangi tu....Aku memang tak salah alamat pindah ke sini, tapi tu la, harga barang pulak macam kat Bangi...hahahaha...Apa boleh buat laaaaa.....

Foto aku bantu adik pompuan aku bersihkan tanah dia kat baruh tu...

Kubur2 lama






Rasanya setakat ini aje yang aku nak tulis...dah takde idea dah...Jangan lupa doakan semua nenek moyang kita, ibu bapa kita kerana ada pusaka yang kita wariskan sekarang ni hingga generasi selepas kita nanti...Mari kita berlapang dada serta doakan yang baik2 aje untuk semua. Jangan sakiti sesiapa pun dan jangan makan hasil yang tak halal kerana semuanya akan kita jawab di hadapan Pencipta nanti. Fikir panjang2.


Sekian...
daud.montakzakaria


No comments:

Post a Comment

LAMA SANGAT tak buat catatan

Diari DAUD : july 2024 Dah agak lama aku tak buat catatan kat blog ni. Tarikh akhir aku tulis pada 29 April 2024 yang lalu. Jadi hari ni aku...